Cari antbase:

 

Biologi dan ekologi asas bagi semut

Noel B. Tawatao, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah
Semut adalah serangga eusosial dari famili Formicidae dalam order Hymenoptera. Mereka disifatkan sebagai saling menjaga antara satu sama lain, pertindihan generasi pekerja dalam koloni dan juga mempunyai sistem kasta yang maju (Wilson 1971). Sistem kasta terdiri daripada satu atau lebih betina yang reproduktif (ratu), sebilangan kecil jantan yang reproduktif dan ramai pekerja, yang mana boleh didapati disekitar dan didalam sarang. Semua semut hidup dalam koloni dan setiap kasta mempunyai peranan mereka tersendiri di dalam mengekalkan dan mempertahankan seluruh koloni. Daripada telur, semut membesar menjadi larva dan seterusnya menjadi dewasa. Didalam koloni, anda akan mendapati ribuan pekerja berkeliaran dalam galeri dan terowong di dalam sarang. Mereka bertanggungjawab dalam aktiviti harian seperti mengumpul makanan, menjaga dan memberi makan semut yang belum matang, mengekalkan dan juga mempertahankan koloni. Apa yang menarik ialah pekerja dalam koloni mempunyai tugas yang spesifik, yang menunjukkan pembahagian tugas yang maju. Pekerja yang lebih muda biasanya akan tinggal didalam sarang untuk menjaga semut yang belum matang sementara pekerja yang dewasa mencari makanan diluar sarang dan membina serta mengali tanah untuk membesarkan atau membuat sarang yang baru. Semut adalah invertebrata yang mempunyai sistem komunikasi yang maju (Hoelldobler & Wilson 1990). Semut boleh berkomunikasi dengan merembeskan cecair kimia memandangkan kebanyakkan daripada mereka mempunyai penglihatan yang lemah, dan dalam beberapa kes ada terdapat semut yang tidak mempunyai mata. Mereka berkomunikasi menerusi semiochemicals yang dipanggil feromon yang dirembeskan daripada kelenjar eksokrin. Feromon ini dibebaskan sebagai isyarat tanda amaran, tarikan atau pergerakan, penentuan kasta, pengakuan dan juga komunikasi seksual (Hoelldobler & Wilson 1990). Kepelbagaian semut yang tinggi di ekosistem hutan hujan tropika menyumbangan pelbagai peranan dan membuatkan mereka menjadi kumpulan invertebrata yang terpenting dalam hutan. Mereka bertindak dalam pereputan, pendebungaan, jurutera tanah, pemangsa dan indikator bagi perubahan dalam persekitaran. Interaksinya dengan organisma yang lain juga turut menyumbang kepada penghasilan ekosistem yang komplek dan mapan.

Hölldobler B, Wilson EO (1990) The Ants. The Belknap Press of Harvard University Press, Cambridge, Mass.
Wilson EO (1971) The insect societies. Belknap Press, Cambridge, MA. 548 p.

 

Kembali ke rumusan "ekologi"